KDA FC tidak putus asa berdepan JDT sekali lagi
KEDAH Darul Aman (KDA) FC mahu segera melupakan kedukaan tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir kedua Piala FA apabila sekali lagi berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menghadapi lawan sama bagi saingan Liga Super pada malam Jumaat.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, beberapa kelemahan telah dikesan pada perlawanan tersebut termasuk aksi Liga Super sebelum ini dan akan diperbaiki secepat mungkin.
Menurutnya, setiap perlawanan dianggap penting buat KDA FC kerana setiap mata yang diperoleh membantu pasukan itu untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Matlamat tetap sama iaitu berdepan JDT akan terus berjuang mendapatkan keputusan yang positif walaupun perkara itu dilihat sukar di tempat lawan.
"Tewas pada saingan separuh akhir Piala FA tidak membuatkan kami berputus asa, kami mahu terus tingkatkan lagi usaha untuk setiap perlawanan liga bagi memperbaiki kedudukan," katanya.
Jelas Nafuzi, Sang Kenari perlu segera bangkit memburu keputusan positif dengan memperbaiki corak permainan biarpun sedar bukan satu tugas yang mudah.
Menurutnya, semua posisi pasukan akan diberikan perhatian untuk bergerak sebagai satu unit terutamanya dalam aspek bertahan mahupun menyerang kubu lawan.
“Kami juga perlu pastikan jentera serangan dapat ditajamkan bagi memastikan setiap peluang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin," ujarnya.
KDA FC kini berada pada tangga kelapan liga dengan memungut enam mata selepas mencatatkan tiga kemenangan, dua kekalahan dan satu seri namun dipotong tiga mata disebabkan masalah tunggakan gaji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!