12 GRO leka layan pelanggan kena cekup
IPOH - Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 33 warga asing termasuk 12 orang pelayan pelanggan (GRO) yang sedang leka melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di daerah Kinta pada malam Rabu.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi penguatkuasaan itu dilakukan menerusi Ops Gegar, Ops Selera dan Ops Minyak di tiga lokasi iaitu di pusat hiburan, restoran serta premis perniagaan yang masing-masing di dalam daerah Kinta.
Menurutnya, serbuan bersama 15 orang pegawai Bahagian Penguat kuasa Imigresen Ipoh itu dibuat berdasarkan aduan, pemantauan serta risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi Imigresen Perak di premis tersebut.
"Ketika serbuan ke atas premis hiburan tersebut, kesemua GRO warga Vietnam itu tidak menyedari kehadiran kami dan mereka gagal untuk melarikan diri. Empat lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai pelayan bar di premis tersebut turut ditahan.
"Kita turut menahan 12 pekerja restoran dan 5 pekerja di kedai cuci kereta di dua lokasi yang berlainan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Meor Hezbullan berkata, sepanjang operasi tersebut, pihaknya memeriksa 62 individu yang berada di premis-premis terbabit dan mendapati 33 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963
Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 40 tahun terdiri 12 perempuan warganegara Vietnam, tujuh lelaki Myanmar, lelaki India (6), lelaki Bangladesh (4), dua lelaki dan satu perempuan Sri Lanka serta seorang lelaki Nepal.
Jelasnya, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan.
Tambahnya, sebahagian warga asing berkenaan turut ditahan kerana kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
"Imigresen Perak amat berterima kasih atas maklumat yang diberikan oleh orang ramai dan berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu pihak kami membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin dan aktiviti kurang bermoral warga asing dalam negara ini.
"Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa izin ini termasuk pendakwaan di mahkamah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!