6 GLIC labur dana RM120 billion dalam pelaburan langsung domestik

Anwar
Anwar
A
A
A

ENAM syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama telah memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, enam GLIC yang terlibat ialah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurutnya, ia merupakan antara inisiatif fasa pertama menerusi program yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF), GEAR-uP selain pelaburan-pelaburan syarikat berkenaan dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

“Bagi mencapai sasaran-sasaran kerangka Ekonomi Madani, terdapat keperluan untuk menggerakkan semua pihak di seluruh negara termasuk pihak korporat.

“Melalui penglibatan menyeluruh ini, GLIC akan meningkatkan tumpuan mereka kepada pelaburan tempatan dan modal yang dilabur ini boleh memanfaatkan semua rakyat serta melahirkan ekosistem ekonomi baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar berkata, enam GLIC tersebut akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk mencapai matlamat bersama, iaitu menaikkan siling kedudukan ekonomi negara dan menaikkan lantai kualiti hidup rakyat.

Beliau berkata, pelaburan-pelaburan itu disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan dan bernilai tinggi seperti sektor peralihan tenaga serta pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor.

“Ia juga akan merangkumi pelaburan di seluruh kitaran perniagaan seperti syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya untuk menyokong penyenaraian saham syarikat-syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dengan jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai lebih daripada RM1.8 trilion, yakni sekitar saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal, GLIC tersebut mempunyai kekuatan kewangan untuk menggerakkan lonjakan negara di rantaian nilai ekonomi dan menambah baik mutu kehidupan rakyat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!