Palestin pilih Malaysia tuan rumah Kelayakan Piala Dunia

Malaysia akan menjadi tuan rumah aksi Palestin menentang Jordan.
Malaysia akan menjadi tuan rumah aksi Palestin menentang Jordan.
A
A
A

MALAYSIA akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia di antara Palestin dan Jordan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September depan.

FAM dalam satu kenyataan berkata, Malaysia telah dipilih sebagai venue perlawanan selepas pihak Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini.

Sebelum ini, PFA mencari venue yang sesuai untuk dijadikan gelanggang neutral atau gelanggang sendiri mereka bagi aksi kedua Kumpulan B, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

"Selepas perbincangan, kata sepakat telah dicapai antara FAM dan PFA yang mana Datuk Haji Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA bersetuju untuk menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dipilih.

"FAM menyifatkan ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

Malah, FAM berasa bertuah kerana PFA memilih untuk mengadakan aksi pertama pasukan kebangsaan mereka di gelanggang sendiri dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di Malaysia," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini pernah menjadi venue neutral bagi aksi pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober 2017.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Palestin melakar sejarah apabila berjaya menempah slot ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7 Jun lalu.

Pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Palestin diundi berada dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait selain Jordan.

Kejayaan mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 itu juga sekali gus menyaksikan Palestin yang dibimbing Makram Daboud layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!