Badminton satukan rakyat Malaysia

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia (perseorangan) dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik disambut meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia (perseorangan) dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik disambut meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto Bernama
A
A
A

TATKALA pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menunjukkan isyarat senyap di bibirnya usai menumpaskan wakil India Lakshya Sen Isnin lepas, jutaan rakyat Malaysia menjerit kegirangan meraikan kejayaannya merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sama ada di Porte de La Chapelle Arena di Paris sehinggalah di restoran mahupun pusat membeli belah di negara ini, kesemua rakyat tidak kira kaum, agama dan warna kulit teruja dengan detik manis dilakar bukan sahaja Zii Jia malah juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang turut menyumbang gangsa di Paris 2024.

Lebih menarik, terdapat penyokong kaum lain selain Melayu, yang sanggup ke Paris dengan mengenakan tanjak dan dihiasi dengan bendera serta warna Jalur Gemilang bagi memeriahkan suasana di venue badminton itu.

Malah, ratusan peminat berkerumun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1, Sepang, semalam bagi menyambut kepulangan barisan pemain badminton negara dari Perancis selain memberikan hadiah kepada idola kesayangan mereka.

Keunikan dimiliki rakyat Malaysia dalam memberi sokongan padu kepada pemain badminton negara di Sukan Olimpik Paris 2024 membuktikan elemen perpaduan wujud dalam masyarakat berbilang kaum.

Zii Jia bergambar bersama penyokong Malaysia selepas menerima pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle. Foto Bernama
Zii Jia bergambar bersama penyokong Malaysia selepas menerima pingat gangsa dalam acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle. Foto Bernama

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang pernah merangkul tiga pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik berturut-turut pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 terharu melihat sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada pemain negara mahupun ketika zaman kegemilangannya.

"Bukan sahaja Sukan Olimpik, malah kejohanan lain buat kita bersatu. Tak kisah bangsa apa pun, Melayu, Cina atau Iban kita duduk bersama di kedai mamak, sokong pemain negara beraksi.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang bangga dan terharu dengan semangat ditunjukkan rakyat Malaysia kepada para pemain ketika ini. Mereka sangat hebat,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengakui trend sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat sangat baik untuk badminton setiap kali berlangsungnya Sukan Olimpik memandangkan sukan itu sering diletakkan harapan membawa pulang pingat dari temasya sukan berprestij berkenaan.

Pekan juga berkata salah satu legasi kejayaan sukan badminton negara bertitik tolak daripada asas perpaduan disemai sejak dari dahulu lagi.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi kombinasi pemain berbilang kaum mengerah keringat menjuarai Piala Thomas 1992 di sini terdiri daripada gandingan anak-anak Sidek iaitu Datuk Rashid, Datuk Razif dan Datuk Jalani serta Datuk Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Soo Beng Kiang dan Kwan Yoke Meng diikuti pencapaian gemilang Chong Wei pada Sukan Olimpik.

"Ketika ini beregu wanita utama Pearly Tan-M. Thinaah mewakili dua kaum terbesar di dalam negara. Ini yang dikatakan sebagai simbol perpaduan dalam sukan badminton.

"Sememangnya kita memerlukan lebih ramai lagi pemain yang boleh dibentuk dari pelbagai kaum sebab kita tahu walaupun berbeza kaum, kita dapat berhimpun bersama-sama menonton aksi mereka, sekali gus memperkukuhkan ikatan perpaduan dalam negara kita,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pihak yang terlibat membangunkan sukan badminton negara mampu meneroka bakat baharu tidak kira dari kaum Melayu, Cina, India mahupun etnik dari Sabah dan Sarawak dalam usaha menambah baik penyatuan kaum di Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berpandangan sokongan dipamerkan rakyat Malaysia dapat membuka mata ahli politik untuk menghentikan sebarang fahaman ekstremis yang mampu merosakkan perpaduan kaum negara ini.

"Sukan secara asasnya tidak membezakan warna kulit mahupun golongan kaya atau miskin, sebaliknya kesemua rakyat menterjemahkan sokongan untuk menguatkan identiti negara.

"Ia ternyata memberi impak besar kepada rakyat dengan saya difahamkan terdapat penyokong kaum lain yang memakai tanjak di venue badminton Paris 2024 dan merupakan satu manifestasi yang sangat berbeza dengan pendirian serta tingkah laku rakyat biasa dengan ahli politik,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!