Kerajaan perlu beri penjelasan dakwaan Tesla batal bina kilang - Dominic

Domonic berharap kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap keputusan terbaru Tesla adakah ia hanya melibatkan kerjasama dalam bidang kenderaan elektrik.
Domonic berharap kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap keputusan terbaru Tesla adakah ia hanya melibatkan kerjasama dalam bidang kenderaan elektrik.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memberi penjelasan berkaitan isu syarikat kenderaan elektrik (EV), Tesla yang didakwa menarik diri daripada membuka kilang di Malaysia.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengemukakan tindakan yang akan dilakukan sekiranya laporan berkenaan adalah benar.

"Jika itu benar, apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan? Terutamanya dari segi kesan terhadap pembangunan kenderaan elektrik di negara kita.

"Lagipun, Anwar pernah mengumumkan pemilik Tesla, Elon Musk berjanji untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat dan membuat pelaburan besar yang akan membawa puluhan ribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada negara.

"Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian serius terhadap kenyataan tersebut, terutama mengenai keputusan terbaru Tesla adakah ia hanya melibatkan kerjasama dalam bidang kenderaan elektrik? Atau kerajaan juga akan terjejas dalam perkhidmatan satelit Starlink SpaceX?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan laporan media Thailand, The Nation yang mendakwa Tesla membatalkan rancangan untuk membina kemudahan pembuatan EV sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

Menurut sumber negara berkenaan, Tesla hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Katanya, keputusan Tesla itu membabitkan semua negara di seluruh dunia kecuali China, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.

Artikel Berkaitan:

Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa Tesla telah membubarkan pasukan eksekutif yang melawat Thailand pada November hingga Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Dominic turut mempersoal mengenai kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini mendedahkan kemasukan Tesla dalam negara bakal memberi banyak peluang kepada Malaysia.

"Menerusi pengumuman MITI, kemasukan Tesla ke pasaran Malaysia akan mewujudkan peluang kemahiran, pekerjaan dalam bidang kenderaan elektrik (BEV) dan meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di dalam serta luar negara.

"Adakah siri kerjasama dan penglibatan ini juga akan ditangguhkan? Kehadiran pengeluar EV mungkin mempunyai pulangan terhad dalam jangka masa pendek.

"Dalam jangka masa panjang, jika pusat jualan dikaitkan dengan pengeluaran, bateri dan perlombongan nadir bumi, ia akan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, membawa keuntungan ekonomi serta membantu pemindahan teknologi dan penciptaan ekosistem EV," jelasnya.

Pada masa sama, Dominic mencadangkan agar kerajaan memberikan layanan istimewa kepada syarikat teknologi tinggi, terutamanya pelabur dalam bidang EV.

Menurutnya, ia merupakan langkah baik untuk menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia.

"Menarik Tesla supaya melabur di Malaysia adalah langkah pragmatik yang boleh membawa kesan berantai dan jika rancangan ini berubah, kerajaan perlu mempunyai strategi untuk menghadapinya," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!