TH perluas peranan perbankan Islam, salur bantuan
LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyahut tanggungjawab untuk menerajui serta memperluas peranan perbankan Islam dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, selaku organisasi pengurusan simpanan patuh syariah bagi tujuan haji, TH beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam.
Menurutnya, sejak penubuhan lebih enam dekad lalu, TH telah menyalurkan zakat berjumlah RM1.37 bilion kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
"Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat daripada Program Zakat Wakalah TH.
“Sebagai contoh pada 2023, di bawah program ‘pembelajaran’, TH telah menyalurkan RM10 juta kepada pelajar asnaf di pelbagai rangkaian universiti awam bagi tujuan pembayaran tuisyen, pembelian peralatan dan juga penyediaan makanan," jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Syed Hamadah, komitmen dalam memperkasa penyaluran bantuan itu turut dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan Sadaqa House yang dikelola oleh syarikat sekutu kumpulan TH iaitu Bank Islam.
Jelasnya, ia merupakan pemacu kewangan sosial diiktiraf di peringkat global yang menggerakkan dana sosial seperti sedekah dan zakat untuk menjana impak positif segmen yang kurang serta tidak mendapat perkhidmatan kewangan.
Syed Hamadah turut menjelaskan dana daripada inisiatif Sadaqa House berjumlah lebih RM25 juta telah disalurkan untuk meningkatkan kemampuan 1,200 usahawan mikro menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD.
"Selain itu, dana Sadaqa House juga dimanfaatkan untuk memelihara kesejahteraan hidup dan pendidikan kepada hampir 10,000 penerima termasuk 86 anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi serta selebihnya golongan asnaf dan B40 di seluruh negara.
“TH berharap adanya kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) lain di dalam inisiatif memperkasa ekonomi Madani ini, lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan akan memperuntukkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!