GLIC, GLC pastikan pekerja terima gaji wajar RM3,100

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memastikan pekerja menerima gaji wajar sebanyak RM3,100 dan menyelaraskan penanda aras pendapatan pada masa hadapan dengan laporan tahunan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, ia merupakan antara komitmen GLIC dan GLC dalam memberi impak bagi meningkatkan kehidupan pekerja di organisasi serta ekosistem masing-masing, termasuk dalam syarikat-syarikat pelaburan mereka.

Ujar kenyataan tersebut, komitmen GLIC dan GLC itu melangkaui pelaburan modal mereka.

“GLIC ini juga bertekad untuk mengekalkan usaha sedia ada dalam memastikan peluang saksama melalui perwakilan gender di tempat kerja; program-program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula secara bersasar.

“Ia juga merangkumi peningkatan kemahiran terutamanya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sokongan komuniti secara holistik melalui inisiatif-inisiatif kebertanggungjawaban korporat yang lebih bersepadu serta secara lebih teratur, seperti kerjasama dengan kerajaan dalam program Kampung Angkat Madani untuk menjayakan intervensi sosio ekonomi bagi melengkapkan sokongan Kerajaan dalam pembekalan prasarana asas,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) juga akan diperkasakan sebagai dana khazanah antara generasi negara.

Ujarnya, usaha itu turut melibatkan dengan sumber-sumber sumbangan baharu, garis panduan penggunaan yang disemak semula, dan mandat pelaburan yang diperkuatkan untuk memastikan kemampanan dan pemeliharaan kekayaan bagi generasi-generasi rakyat mendatang.

“Saiz dana semasa KWAN yang ditadbir urus oleh Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, adalah berjumlah kira-kira RM20 bilion,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!