8,000 pelajar IPT Selangor terima bantuan wang saku

Abdul Aziz (dua dari kanan) menyerahkan peruntukan RM2.4 juta untuk kegunaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam pada Khamis.
Abdul Aziz (dua dari kanan) menyerahkan peruntukan RM2.4 juta untuk kegunaan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 8,000 pelajar kurang berkemampuan di Selangor menerima wang saku membabitkan peruntukan RM2.4 juta.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, wang fidyah MAIS itu diagihkan kepada pelajar di enam institut pengajian tinggi (IPT) dan dua agensi Islam.

Menurutnya, bantuan melalui Program Fidyah Wang Saku Pelajar dibuat secara berkumpulan kepada golongan sasar melibatkan kolaborasi dan kerjasama daripada Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM).

"Penyaluran wang saku kepada pelajar yang layak untuk membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan kehidupan semasa belajar.

Gimik penyampaian sumbangan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam pada Khamis.
Gimik penyampaian sumbangan Program Fidyah Wang Saku Pelajar di UiTM Puncak Alam pada Khamis.

"Kriteria penerima mengikut hukum syarak iaitu fakir dan miskin atau miskin sementara yang terkesan akibat musibah tertentu sehingga menjadikan ketua keluarga tersebut menjadi miskin," katanya pada Program Agihan Fidyah Wang Saku Pelajar 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada Khamis.

Beliau berkata, MAIS telah meluluskan peruntukan bajet agihan fidyah keseluruhan berjumlah RM12.4 juta pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, RM5.79 juta membabitkan agihan dalam bentuk barangan manakala RM4.2 juta berbentuk tunai dan RM2.4 juta untuk program tunai wang saku pelajar.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, wang saku fidyah diagihkan kepada pelajar memerlukan melalui RSAFM iaitu UiTM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel).

"Agihan turut disalurkan kepada pelajar di Management and Science University (MSU), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

"Setiap pelajar yang layak akan menerima RM300 setiap seorang sekali sahaja dan program ini adalah salah satu daripada agihan fidyah seperti bantuan makanan asas dan wang tunai," katanya.

Katanya, tahun lalu MAIS berjaya mengagihkan fidyah dalam bentuk barangan asas dan tunai dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM11.9 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!