Reman suspek samun di Semenyih disambung seminggu
KUALA LUMPUR - Tempoh reman empat lelaki bagi membantu siasatan kejadian samun bersenjata sebuah rumah di Semenyih dekat sini, minggu lepas, disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses sambung reman dibuat berikutan tempoh reman mereka tamat semalam dan hari ini.
"Polis juga giat mengesan dan mengenal pasti suspek kelima kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Empat lelaki berkenaan terdiri daripada tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang orang awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam kes berasingan, Hussein berkata, polis sedang memohon lanjutan reman terhadap seorang anggota PGA yang tamat hari ini selepas dia ditahan kerana disyaki terlibat memiliki dan memproses ketum, 6 Ogos lepas.
"Kita menjumpai ketum dan barangan lain semasa serbuan dan siasatan masih dilakukan untuk mengetahui sama ada ketum itu diproses di situ,” katanya.
Media semalam melaporkan anggota PGA berkenaan ditahan bersama dua orang awam dan enam warga asing kerana disyaki terbabit kegiatan memproses air ketum dalam serbuan di Markas Briged Tengah PGA di Cheras, di sini pada jam 1 pagi, 6 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!