MTUC desak kerajaan siasat GLIC, GLC gajikan CEO jutaan ringgit
SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyiasat dan membuat audit terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menggajikan ketua pegawai eksekutif (CEO) dengan gaji yang terlalu tinggi.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC sangat terkejut dengan bayaran gaji yang diperoleh oleh CEO bank yang mencecah jutaan ringgit dalam setahun.
Menurutnya, jurang gaji yang terlalu besar antara pekerja B40 dan CEO umpama langit dan bumi sehingga mewujudkan dua kasta yang berbeza.
“Kasta maha kaya akan sentiasa menekan kasta marhaen sehingga mewujudkan kegelisahan, ketidakpuasan hati dan kekecewaan pekerja B40,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, MTUC juga mahu Kementerian Sumber Manusia memainkan peranan dengan mendesak pengurusan bank untuk mengadakan dialog sosial dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE).
“Kerajaan atau Kesuma wajar menggunakan tekanan ke atas bank sehingga sesi dialog dapat diadakan,” katanya.
MTUC dalam pada itu menyokong tindakan ahli gabungannya NUBE mengadakan piket ke atas semua bank.
“Tindakan NUBE adalah untuk memperjuangkan kebajikan dan faedah yang wajar dinikmati oleh pekerja tetapi telah dinafikan oleh pengurusan bank," ujarnya.
Kamarul Bahrin berkata, bank mencatat keuntungan tinggi dengan kegigihan, usaha dan pengorbanan pekerja, namun pekerja tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya.
“Penderitaan pekerja bank terutama B40 bertambah parah apabila bank-bank tidak mengendahkan perjanjian bersama yang telah dipersetujui,” katanya.
MTUC dalam pada itu turut mengecam tindakan pengurusan bank menyekat pekerja untuk menghadiri kursus bagi peningkatan kemahiran.
"Kenyataan daripada NUBE yang memaklumkan bahawa keengganan pengurusan bank untuk menggunakan dana pembangunan manusia untuk latihan atau kursus amatlah dangkal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!