Anak hempuk kepala ibu guna helmet dijel lima bulan

Ezat Hamidee (tengah) dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
Ezat Hamidee (tengah) dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Tindakan kejam seorang lelaki menghempuk kepala ibu kandungnya dengan topi keledar, berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Ezat Hamidee Abdul Latib, 35, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Asiah Mohd Said, 60, dengan cara memukul di bahagian kepala dengan topi keledar warna merah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 4 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, sabit kesalahan.

Tertuduh memaklumkan dia melakukan perbuatan tersebut kerana berang ditegur oleh ibunya dan malu apabila keluarga mengetahui dia sebelum ini menjalani pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan kepada mangsa sebagai pengajaran lebih-lebih lagi mangsa merupakan ibu kandung tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, pada hari sama.

Namun tertuduh mengaku tidak bersalah dan diberikan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 September depan bagi mendapatkan laporan patalogi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!