Rumah dibaling bom petrol, tiga along ditahan

Keadaan rumah mangsa yang dibaling bom petrol sebelum tangkapan tiga suspek dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Rabu.
Keadaan rumah mangsa yang dibaling bom petrol sebelum tangkapan tiga suspek dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis berjaya menyelesaikan beberapa kes khianat dengan api yang dipercayai berpunca daripada kegiatan along di sekitar kawasan Ipoh susulan penangkapan tiga individu warga tempatan pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penangkapan tiga suspek lelaki itu dilakukan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan rumahnya dibaling bom petrol di kawasan Bercham di sini jam 9.17 malam pada 6 Ogos.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang, Johor Bahru.

"Ujian saringan awal air kencing kesemua suspek menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 12 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.

"Ekoran kejayaan penangkapan suspek, pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan beberapa kes khianat dengan api di sekitar daerah Ipoh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 Azizi Mat Aris
Azizi Mat Aris

Azizi berkata, semakan rekod lampau juga mendapati suspek pertama mempunyai 10 kes manakala suspek kedua mempunyai empat kes masing-masing berkaitan kes jenayah dan dadah sementara suspek ketiga pula mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa berurusan membuat pinjaman wang dengan mengelak dari menggunakan perkhidmatan peminjaman wang tidak berlesen atau tidak sah di sisi undang-undang.

Jelasnya, pihak polis akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang informasi berkaitan jenayah oleh orang ramai menerusi Pusat Kawalan Daerah Ipoh di talian 05-2542222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!