'Bekas ADUN Nenggiri hanya guna 10 peratus peruntukan' - MB Kelantan

Datuk Mohd Nussuruddin Daud
Datuk Mohd Nussuruddin Daud
A
A
A

GUA MUSANG - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim didakwa hanya menggunakan 10 peratus daripada jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nussuruddin Daud berkata, keseluruhan peruntukan tahun ini yang diluluskan ialah sebanyak RM713,500.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan Parlimen selain peruntukan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita tidak tahu kenapa dia tidak menggunakan wang yang sudah ada dalam tangan dan hanya menggunakan sebanyak RM72,000 sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Round Kampung Jjupo Mato di Kampung Pasir Tumbuh, Nenggiri, Gua Musang pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Azizi mencabar kerajaan negeri membuktikan bahawa beliau diberi peruntukan.

Mohd Nussuruddin memberitahu, selepas disemak mendapati Mohd Azizi mendapat peruntukan berkenaan supaya dapat diagihkan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, ADUN pembangkang turut menerima peruntukan Rancangan kecil (RKP) iaitu lebih RM250,000.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan itu sama banyak dengan ADUN kerajaan negeri. Mereka juga (pembangkang) dapat peruntukan lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!