Lelaki dicekup pecah rumah babit kerugian RM60,000

Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah di Taman Bendahara pada Rabu.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah di Taman Bendahara pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kegiatan licik seorang lelaki pecah rumah di Taman Bendahara di sini akhirnya terbongkar apabila suspek ditahan polis pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa rumahnya dipecah masuk pada jam 9.13 pagi pada Rabu.

Menurut beliau, susulan kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM60,000 dalam bentuk wang tunai dan barang kemas.

"Bertindak atas maklumat dan hasil risikan polis, suspek akhirnya berjaya ditahan di sekitar Kuala Selangor.

"Polis turut berjaya merampas barang kes daripada suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Ambia, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pecah rumah dan curi dalam bangunan.

Katanya, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Jumaat bagi permohonan reman.

Sehubungan itu, Ambia turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyimpan barang kemas dan wang tunai dalam jumlah yang banyak semasa meninggalkan rumah dalam tempoh lama.

Artikel Berkaitan:

"Pastikan juga rumah atau premis yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan selamat," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!