Remaja 14 tahun menyamar doktor guna kad pengenalan palsu - KKM

Remaja perempuan menyamar petugas kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang menggunakan kad pengenalan palsu. Foto hiasan
Remaja perempuan menyamar petugas kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang menggunakan kad pengenalan palsu. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan awal mendapati remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan selepas dikesan menyamar sebagai petugas perubatan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang menggunakan kad pengenalan palsu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, kes ini masih di dalam siasatan dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh bagi membantu pihak polis.

"Pada 7 Ogos 2024, pihak pengurusan HSIS, Serdang telah menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan yang bertugas di HSIS.

"Tindakan pantas pihak HSIS telah berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis telah dilakukan.

"Pada hari ini, 8 Ogos (Khamis), pihak polis telah berjaya menahan individu terbabit," kata kenyataan itu pada Khamis.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan daripada kakitangan HSIS, Serdang berkaitan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tidak dikenali berada dalam dewan bedah hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada jam 1 petang Rabu menyatakan remaja terbabit mengaku sebagai pegawai perubatan dan mahu membantu menjalankan pembedahan.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak hospital telah mengenal pasti kehadiran remaja yang sama pada Khamis jam 8.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, tangkapan dibuat di lobi hospital tersebut dan polis merampas sehelai baju scrub, seluar scrub dan 'lanyard' hak milik hospital berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!