Segera pecat, sekat pencen ketua terpalit rasuah

Ketua jabatan yang terpalit salah laku rasuah perlu dikenakan tindakan tegas. Gambar kecil: Nor Halmey
Ketua jabatan yang terpalit salah laku rasuah perlu dikenakan tindakan tegas. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua jabatan yang terpalit salah laku rasuah perlu dikenakan tindakan tegas seperti pemecatan serta-merta dan sekatan terhadap imbuhan pencen supaya menjadi pengajaran kepada pekerja bawahan.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah menegaskan, tindakan tersebut bagi memberi isyarat bahawa tiada sesiapa yang kebal di hadapan undang-undang meskipun memiliki jawatan berpengaruh.

"Kalau peringkat bos amalkan rasuah, anak buah sedikit sebanyak akan ikut perangai ketua mereka.

"Jadi bila tengok ketua kena tangkap atau pecat, sudah pasti pegawai bawahan rasa takut, seterusnya tidak berani dekati amal rasuah," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam perkongsian video di laman sosialnya mendedahkan, rasuah dalam sektor awam semakin menjalar ekoran pemimpin baharu yang dipilih 'sealiran' dengan pemimpin sebelumnya bagi memastikan kepentingan diri terjaga walaupun sudah pencen.

Beliau dilapor berkata, rasuah hanya berjaya dibanteras sekiranya tindakan dikenakan bermula daripada pemimpin atasan.

Dalam pada itu, menurut Nor Halmey, kerajaan juga perlu memastikan proses pemilihan pemimpin di semua peringkat dilakukan secara adil dan saksama.

Ujarnya, penguatkuasaan undang-undang perlindungan pemberi maklumat juga harus diperkemaskan untuk mendorong lebih ramai individu melaporkan kes rasuah tanpa rasa takut.

Artikel Berkaitan:

"Dengan melaksanakan tindakan-tindakan ini, kerajaan dapat menunjukkan komitmen yang serius dalam memerangi rasuah dan membina kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!