Hari ASEAN ke-57: Anwar seru perpaduan untuk rantau aman, makmur
KUALA LUMPUR - Sempena sambutan ulang tahun ke-57 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menekankan kepentingan negara-negara anggota bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan rantau yang aman, stabil dan makmur.
Menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau, Anwar dalam hantaran Facebooknya mengucapkan 'Selamat Hari ASEAN ke-57!' berkata, Malaysia menumpukan kepada memperjuangkan kerjasama antara negara dalam pelbagai bidang.
"Hari ini kita meraikan Hari ASEAN ke-57, hari penting untuk mengingatkan diri kita bahawa kita perlu bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan rantau yang aman, stabil dan makmur.
"Saya berharap ASEAN terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perkongsian ekonomi dalam kalangan negara anggotanya dan menjalin masa depan yang lebih baik bersama," katanya.
Hari ASEAN disambut setiap tahun pada 8 Ogos untuk memperingati penubuhan ASEAN.
Ditubuhkan pada 1967 dengan penandatanganan Deklarasi Bangkok, ASEAN bertujuan untuk menggalakkan kerjasama politik dan ekonomi serta kestabilan serantau dalam kalangan ahlinya.
Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN dianggotai 10 negara terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!