Harga pingat emas Olimpik Paris RM4,250
PINGAT emas di Sukan Olimpik Paris dilaporkan bernilai AS$950 (RM4,250).
Menurut artikel oleh Forbes Australia, pingat emas yang diberikan pada Olimpik Paris itu berkemungkinan merupakan pingat termahal dalam sejarah temasya itu, terutamanya kerana harga emas yang mahal.
Ia melepasi rekod harga pingat emas yang bernilai AS$708 untuk Sukan Olimpik London 2012.
Forbes Australia menjelaskan pingat emas Olimpik seberat 529 gram, dengan lebih daripada 95.4 peratus pingat sebenarnya diperbuat daripada perak (505 gram).
Enam gram terdiri daripada emas tulen, yang berfungsi sebagai penyaduran pingat, dan 18 gram terdiri daripada besi.
Besi tersebut juga bukan sekadar besi biasa kerana ia berasal dari Menara Eiffel.
Sementara itu, pingat perak seberat 525 gram, dengan 507 gram diperbuat daripada perak dan 18 gram besi.
Nilainya, berdasarkan harga untuk perak dan besi pada 24 Julai adalah lebih kurang AS$486 (RM2,174).
Pingat gangsa seberat 455 gram dan terdiri daripada 415.15 gram tembaga, 21.85 gram zink, dan 18 gram besi. Nilainya pula adalah lebih kurang AS$13 (RM58).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!