Lawan Dhabitah di final bukan calang-calang

Dhabitah layak ke final selepas menamatkan saingan separuh akhir di tangga kelapan daripada 18 penerjun. Foto Bernama
Dhabitah layak ke final selepas menamatkan saingan separuh akhir di tangga kelapan daripada 18 penerjun. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ATLET terjun berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui aksi final acara 3 meter (m) papan anjal Olimpik Paris 2024 amat sengit berdasarkan reputasi penerjun-penerjun lain yang layak ke pusingan itu.

Dalam pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Paris pada Jumaat (9 malam waktu Malaysia), Dhabitah bakal disaingi 11 penerjun lain termasuk dua wakil China, Chen Yiwen dan Chang Yani.

Kedua-dua jaguh China itu menjadi pilihan dan diramal menaiki podium.

Sebelum ini, Yiwen yang berpasangan dengan Yani cemerlang untuk merangkul pingat emas dalam acara 3m papan anjal seirama.

Ditanya sama ada dia mempunyai 'kejutan' di pusingan akhir nanti, atlet berusia 25 tahun yang tampil buat kali ketiga di Olimpik itu berkata: "Bukan tiada (kejutan) tetapi saingan amat sengit. Untuk menampilkan aksi terbaik dan mendapat markah tinggi, semuanya harus sempurna. Semua penerjun berdepan cabaran tersendiri di sini."

Sebagai rekod, Dhabitah menamatkan peringkat separuh akhir di kedudukan kelapan daripada 18 penerjun dengan mengutip keseluruhan 286.95 mata selepas lima terjunan.

Dhabitah sebelum ini diberi peluang beraksi di Olimpik Paris oleh Akuatik Dunia yang memberikan slot tambahan kepada Malaysia.

Situasi tersebut menyebabkan Dhabitah tidak cukup masa untuk melakukan persiapan lebih rapi kerana keputusan slot tambahan itu diumumkan pada saat-saat akhir.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu sasaran saya adalah pentas final dan saya juga mahu membuktikan kepada semua orang bahawa saya memang berhak beraksi Olimpik biar pun hadir menerusi kuota tambahan," katanya.

Selain Yiwen dan Yani, Dhabitah turut berdepan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 dari Australia, Maddison Kenney yang menamatkan pusingan separuh akhir di kedudukan kedua dengan mengutip mata keseluruhan 334.70.

Yasmin Harper pula yang sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12 dan menjadi penerjun terakhir layak ke final dilihat belum mengeluarkan taring sebenarnya.

Harper sebelum ini meraih pingat emas dalam acara 3m papan anjal seirama bersama gandingannya Scarlett Mew Jensen.

Sebelum ini, pengarah teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, Dhabitah yang juga pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 perlu mengutip 330 mata dan ke atas untuk berpeluang menaiki podium di Paris 2024.

Pada aksi final 3m papan anjal di Tokyo 2020, Dhabitah terlepas pingat gangsa apabila menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengutip 326.15 mata keseluruhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!