Perang Asia Barat ibarat bom jangka
SANA sini rangkaian media dan penganalisis perang membuat andaian tentang jangka masa Israel akan ‘dihukum’ pejuang Hizbullah kerana membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan komander mereka, Fuad Shukr pada akhir bulan lalu.
Perang retorik antara Hizbullah bersama gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel dan Tel Aviv pula sudah berlarutan selama seminggu selepas mereka berikrar mahu menuntut bela terhadap kekejaman rejim Zionis.
Jika melihat kepada ‘hukuman tegas’ sebelum ini, Hizbullah yang disokong Teheran mengambil masa dua minggu untuk melancarkan lebih 300 dron dan misil ke atas Israel sebagai respons terhadap serangan udara ke atas Konsulat Iran di Damsyik yang meragut nyawa tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Islam termasuk dua komander mereka.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah juga sekali lagi menyatakan mereka sedang menunggu waktu yang tepat untuk bertindak balas.
Ketika amaran demi amaran dikeluarkan, serangan rentas sempadan Lubnan-Israel dilaporkan terus meningkat.
Situasi yang semakin tidak menentu di Asia Barat menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan Barat seperti cacing kepanasan.
Tidak semena-mena, Pentagon mengumumkan ia akan mengerahkan skuadron tambahan ke rantau itu bersama kapal pemusnah demi mempertahankan sekutunya, Israel.
Hal ini kerana, masih tidak jelas sama ada proksi Iran itu akan terlibat serangan balas secara serentak bersama gerakan di bawah Paksi Penentangan atau bertindak sendirian memandangkan ia mempunyai bekalan senjata canggih yang berupaya mencapai jauh ke tengah wilayah Israel berbanding ‘serangan sipi-sipi’ berhampiran sempadan sepanjang lebih 10 bulan lalu.
Israel juga mendabik dada kerana yakin mampu menangkis serangan berskala besar pada kali ini sama seperti yang dilakukan pada 13 April lalu.
Israel yang semakin bongkak juga merancang mahu melancarkan serangan awal kononnya untuk menghalang ofensif Iran.
Keputusan melulu itu dibuat Perdana Menteri ekstremis, Benjamin Netanyahu bersama barisan ketua keselamatan sebagai sebahagian rancangan menghadapi serangan Teheran dan Hizbullah.
Tidak puas berperang dengan pejuang Hamas di bumi Gaza selama hampir 11 bulan, kini rejim Zionis mahu cari pasal dengan Iran dan Hizbullah pula.
Wajarlah untuk mengatakan tindakan bodoh Israel ini seperti menjerat leher sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!