Bapa tembak juri, tak puas hati anak kalah pertandingan ratu cantik

Polis terpaksa melepaskan tembakan selepas seorang lelaki mengancam menembak seorang juri pertandingan ratu cantik di bandar Altamira, Brazil. Foto Agensi
Polis terpaksa melepaskan tembakan selepas seorang lelaki mengancam menembak seorang juri pertandingan ratu cantik di bandar Altamira, Brazil. Foto Agensi
A
A
A

BRASILIA - Seorang lelaki cuba menembak juri selepas tidak berpuas hati anaknya mendapat tempat keempat dalam pertandingan ratu cantik di Altamira, Brazil.

Insiden itu berlaku dalam pertandingan ratu cantik 'II Baile da Escolha da Rainha' yang mana suspek dikenali sebagai Sebastiao Francisco bersenjatakan sepucuk pistol dilaporkan meninggal dunia di hospital selepas cedera parah ditembak polis.

Semasa kejadian, Francisco yang juga seorang penternak menyuarakan tidak puas hati mengenai keputusan anaknya berada di tempat keempat dalam pertandingan itu selain mempersoalkan keputusan juri dan kriteria penilaian.

Oddity Central melaporkan, semasa pertandingan berlangsung di dewan tersebut yang dikawal ketat pengawal keselamatan dan polis tentera, suspek berang dengan keputusan itu bertindak mengacukan pistol ke arah juri.

Menyedari kekecohan berlaku, seorang anggota polis terpaksa melepaskan tembakan dan terkena bahagian dada suspek sehingga dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Menurut saksi, Francisco menganggap keputusan juri meletakkan anaknya di tempat keempat sebagai satu penghinaan dan dia yakin anaknya akan menjadi juara dalam pertandingan itu.

Dewan lokasi di mana kejadian tragis itu berlaku dilaporkan sesak, dan pegawai tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan ke arah lelaki itu bagi melindungi mereka yang hadir.

Pada masa sama, siasatan mengenai kejadian sedang dijalankan untuk menentukan sama ada polis tentera mungkin boleh menghalang kematian lelaki itu yang sebenarnya telah mengancam nyawa orang ramai yang berada dalam dewan tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!