China dakwa AS tak telus ujian doping

Pelari pecut AS, Erriyon Knighton (kiri) yang didapati positif terhadap bahan terlarang pada bulan Mac tetapi dibenarkan untuk bersaing di Paris 2024. Foto Agensi
Pelari pecut AS, Erriyon Knighton (kiri) yang didapati positif terhadap bahan terlarang pada bulan Mac tetapi dibenarkan untuk bersaing di Paris 2024. Foto Agensi
A
A
A

AGENSI anti-doping China (CHINADA) pada Khamis meminta lebih banyak ujian terhadap atlet Amerika syarikat (AS) dan menuduh negara itu secara sistematik menyembunyikan penyalahgunaan doping atletnya yang beraksi di temasya Olimpik Paris 2024.

CHINADA dalam satu kenyataan menyebut ada sebab untuk mengesyaki bahawa AS cuba menyembunyikan isu doping terutamanya dalam acara trek dan padang.

Ia merujuk kepada kes pelari pecut AS, Erriyon Knighton yang didapati positif terhadap bahan terlarang pada bulan Mac tetapi dibenarkan untuk bersaing di Paris selepas seorang penimbang tara bebas memutuskan bahawa keputusan itu mungkin disebabkan oleh daging yang tercemar.

Knighton telah layak ke pusingan akhir acara 200 meter (m) di Paris.

“Mengapa USADA (Agensi Anti-Doping AS) seolah-olah tidak menemui lebih banyak ujian positif untuk bahan tersebut — steroid yang digunakan secara meluas dalam ternakan — dalam kalangan atletnya atau memberi amaran kepada mereka tentang risiko pencemaran.

“Ini satu pengabaian berulang dan sengaja oleh USADA terhadap prosedur dan piawaian,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, China tidak berpuas hati terhadap layanan diskriminasi terhadap perenangnya sebelum Olimpik Paris, di mana mereka diuji doping sebanyak 600 kali iaitu jauh lebih banyak berbanding atlet dari negara lain dan tiada satu kesalahan yang dicatatkan.

Berbeza dengan atlet lain khususnya AS dan Eropah, secara purata mereka diuji sebanyak lima atau enam kali sebelum temasya bermula.

Artikel Berkaitan:

China tiba di Paris dengan suasana tegang selepas The New York Times melaporkan pada April lalu bahawa 23 perenang China diuji positif bahan terlarang trimetazidine (TMZ) menjelang Tokyo 2020.

Bagaimanapun, China mendakwa bahawa ia adalah akibat pencemaran makanan – penjelasan yang diterima oleh Badan Anti-Doping Dunia (WADA).

Tetapi USADA tidak berpuas hati dengan keputusan dan menuduh WADA menutup fakta kes dan skandal itu membayangi persiapan China di Paris.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!