Pengasuh ikat anak, sengaja tak beri makan
PEKANBARU - Seorang ibu nekad melaporkan penderaan dilakukan pengasuh di sebuah pusat jagaan anaknya.
Wanita dikenali sebagai Aya Sofia, 41, dari Pekanbaru, Riau di Indonesia itu mendakwa anaknya yang berusia empat tahun tidak diberi makan malah diikat oleh kakitangan pusat tersebut.
"Kejadian itu berlaku pada Mei lalu. Ia dibongkar salah seorang pengasuh yang bertindak menghubungi saya. Saya amat terkejut dan meminta dia datang ke rumah untuk memberikan penjelasan lebih lanjut," lapor media tempatan memetik kenyataannya pada Khamis.
Menurutnya, mereka turut memberikan bukti seperti rakaman video dan gambar yang menunjukkan anaknya diikat pada 'baby chair'.
"Mereka memberi makan secara senyap-senyap kerana tidak sampai hati melihat anak saya diperlakukan sedemikian," ujarnya dalam nada kesal.
Aya kemudiannya membuat aduan kepada pihak berkuasa dan suspek dikenali sebagai WF telah didakwa di bawah Undang-undang Perlindungan Kanak-kanak.
"Siasatan lanjut sedang dilakukan memandangkan klip itu telah tersebar di media sosial. Seramai lima individu telah disoal siasat dan kes itu akan dikendalikan secara profesional," kata jurucakap polis. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!