Akta Pendanaan Politik hapuskan ekosistem rasuah
SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menggubal Akta Pendanaan Politik bagi meningkatkan kepercayaan orang awam selain menghapuskan ekosistem rasuah dan salah guna kuasa dari peringkat akar umbi.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, akta tersebut perlu segera diperkasakan bagi memastikan setiap dana diterima bebas daripada pengaruh kewangan yang diragui sumbernya.
Menurutnya, perkara itu akan memberi kesan positif terhadap tata kelola negara selain pentadbiran yang lebih telus.
“Akta ini secara tidak langsung dapat menghalang beberapa pihak tertentu seperti ahli korporat dan individu yang berkuasa daripada mempengaruhi keputusan parti politik.
“Perkara ini secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kepercayaan orang awam terhadap institusi pentadbiran apabila mereka bersikap jujur mengenai kewangan yang diperoleh.
“Undang-undang ini juga dapat meningkatkan tahap akauntabiliti dan memastikan dana yang digunakan itu untuk tujuan yang sah serta tidak disalahgunakan,” katanya.
Sebelum ini, dapatan kuiz Pantau Dana Politik mendedahkan sebanyak 73.9 peratus responden bersetuju parti politik perlu lebih telus mengenai sumber dana, sekali gus membuktikan sokongan awam yang kuat terhadap pendanaan politik.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, hasil dapatan kuiz yang dibentangkan pada Disember 2013 itu merupakan usaha dalam mengukur pemahaman awam mengenai keperluan mendesak untuk menggubal akta pendanaan politik di negara ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Dzul Aiman berkata, kerajaan perlu meningkatkan sistem pengurusan kewangan elektronik bagi memantau aliran kewangan bagi mengesan ketirisan dari peringkat awal.
Katanya, pemantauan awal menutup peluang ahli atau parti politik daripada menerima sumbangan mencurigakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!