Langkah proaktif SKMM sekat laman sesawang langgar undang-undang
TAHNIAH buat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berjaya menyekat sebanyak 10,423 laman sesawang susulan melanggar undang-undang sejak 1 Januari lalu.
Difahamkan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95.7 peratus laman sesawang yang disekat tergolong dalam lima kategori utama seperti perjudian dalam talian (4,484), pelanggaran hak cipta dalam talian (1,654), scam atau pelaburan haram dalam talian (316) dan pelacuran dalam talian (24).
Menurutnya, jumlah sekatan yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 6,571 dan ia menunjukkan trend penurunan sehingga Ogos 2024.
Usaha ini sudah pastinya bagi memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.
Sudah terlampau ramai khususnya warga emas dan wanita di negara kita terjerat dalam scam dan sebagainya hingga kehilangan wang simpanan, ada yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Pelbagai modus operandi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab seperti Macau scam, love scam, penipuan bungkusan, rakan WhatsApp dan skim pinjaman serta pelaburan palsu.
Justeru, orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap tipu muslihat yang dilakukan, berhati-hati dan teliti sebelum membuat sebarang bentuk perkongsian atau pemindahan harta kepada pihak lain.
Selain itu, elakkan melayan panggilan telefon daripada talian yang tidak dikenali dan segera diputuskan jika berasa curiga.
Paling penting, jangan sesekali dedahkan maklumat perbankan serta tidak berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang baru dikenali.
Moga tindakan dilakukan pihak SKMM ini berterusan serta dapat menghapuskan aktiviti-aktiviti negatif atas talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!