Mahu beli iPhone 15 Pro Max tapi bayar ansuran lima tahun
SHAH ALAM - Pendapatan bulanan hanya RM2,000 tetapi mahu memiliki telefon pintar jenama terkenal iaitu iPhone 15 Pro Max dengan kaedah pembayaran secara ansuran selama lima tahun.
Perkara tersebut didedahkan seorang peniaga yang dikenali sebagai Chan, menerusi satu hantaran di Facebook memaparkan perbualan antara dua pihak di aplikasi Whatsapp.
Berdasarkan tangkap layar tersebut, pelanggan berkenaan pada mulanya dilihat bertanya mengenai iPhone 14 Promax tetapi stok yang ada hanya iPhone 14 Plus 128GB.
Bagaimanapun, dia memilih untuk bertukar kepada iPhone 15 Pro Max dan ingin mengetahui jumlah ansuran bulanan jika mahu membuat bayaran bagi tempoh lima tahun.
Terkejut dengan soalan berkenaan, Chan telah bergurau dengan pelanggan tersebut dan respons yang diterima adalah di luar jangkaan.
Susulan itu, dia mengambil keputusan untuk tidak memberi sebarang respons kepada pelanggan tersebut.
“Siapa syarikat ansuran nak layan budak ni? iPhone 15 Pro Max ansuran lima tahun, saya tak boleh,” katanya pada Isnin.
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengguna Facebook mengecam tindakan pelanggan berkenaan.
Mereka berpendapat, individu terbabit perlu memilih untuk membeli telefon bimbit yang sesuai dengan pendapatan bulanan dan kemampuan kewangan diri.
Selain itu, beberapa pengguna turut mencadangkan supaya pelanggan tersebut menabung untuk mendapatkan telefon pintar berkenaan.
"Gaji RM2,000 tu simpan RM1,000 sebulan dalam masa enam bulan akan dapat RM6,000... dah boleh angkat (beli) iPhone 15 Pro Max.
"Buat apa nak hutang sampai lima tahun? Silap hari bulan kalau tertunggak, lagi susah nak bayar bunga," ujar pengguna @MohdNor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!