4 lelaki ditahan curi 335 paip saluran kabel elektrik tepi jalan

Raub (tiga dari kanan) memeriksa batang paip saluran kabel elektrik yang dicuri dan disimpan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai. Foto PDRM
Raub (tiga dari kanan) memeriksa batang paip saluran kabel elektrik yang dicuri dan disimpan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai. Foto PDRM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat lelaki berjaya ditahan selepas terlibat dalam kejadian mencuri dan melarikan 335 batang paip saluran kabel elektrik di Jalan Dato Onn di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua lelaki tempatan berusia 33 hingga 57 tahun itu ditahan dalam enam serbuan di beberapa lokasi berasingan di Johor Bahru dan Kulai.

Menurut beliau, serbuan dilakukan selepas menerima laporan pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi mengenai kecurian yang dianggarkan bernilai RM234,000.

"Bertindak atas maklumat pengadu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah JBS membuat enam serbuan di sini dan Kulai, sebelum berjaya menahan empat suspek.

"Kesemua suspek kemudian menunjukkan lokasi batang paip saluran elektrik yang dicuri itu disimpan sebelum menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas sebanyak 228 batang paip saluran elektrik milik syarikat telekomunikasi. Turut dirampas sebuah treler membabitkan kunci dan alat kawalan jauh selain kunci kilang bagi menyembunyikan batang paip berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Raub berkata, kesemua suspek kini ditahan reman empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!