'Bos bayarkan sewa rumah'
KUALA LUMPUR - Warga asing tinggal di pangsapuri dan sewa dibayar oleh majikan.
Itu situasi yang berlaku dan dikesan hasil operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pangsapuri di Segambut, di sini pada Jumaat.
Serbuan bermula jam 12.15 tengah malam itu dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan selama dua minggu.
Seorang warga Pakistan berusia lingkungan 40-an yang ditahan memberitahu dia menginap di unit pangsapuri itu bersama lapan rakan yang lain.
"Kami tidak bayar sewa, bos bayar. Kami datang duduk sini sahaja," katanya.
Tinjauan Sinar Harian sepanjang operasi itu mendapati beberapa unit kediaman yang disewa itu berada dalam keadaan tidak teratur serta berbau.
Rata-rata warga asing yang ditahan bekerja di kawasan sekitar sebagai pengawal keselamatan, pekerja restoran dan kilang.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan melibatkan 25 unit kediaman yang dipercayai disewa dan didiami warga asing dengan bayaran lingkungan RM1,500.
Katanya, seramai 102 warga asing diperiksa di dua blok berketinggian 20 tingkat.
"Hasilnya, 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita ditahan membabitkan 12 India, Pakistan (11), Nepal (11) dan empat Filipina yang dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa," katanya selepas operasi di sini pada Jumaat.
Tambahnya, lima warga tempatan yang juga pemilik kediaman turut diambil tindakan kerana melindungi dan membenarkan PATI berada di dalam premis.
"Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Tegasnya, JIM sentiasa akan menjalankan operasi 360 darjah dan akan mengambil tindakan ke atas PATI, majikan atau mana-mana orang awam yang melindungi PATI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!