Rakyat Malaysia di Miyazaki, Jepun dinasihat jauhi pantai

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyazaki Kepulauan Kyushu, Jepun dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pantai dan waspada mengenai amaran gempa bumi.

Ia susulan kejadian gempa bumi 7.1 magnitud berpusat di Laut Hyuganada dan kejadian itu berlaku jam 4.43 petang Khamis waktu tempatan serta telah mencetuskan amaran tsunami.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapi perkembangan terkini dan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan.

Menurutnya, walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian untuk melihat keadaan semasa.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian kemungkinan berlakunya kecederaan dan kerosakan serius,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Jepun melaporkan tsunami kecil di bahagian barat daya negara itu susulan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang melanda wilayah Miyazaki dan kawasan lain pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), Pelabuhan Miyazaki di selatan wilayah Miyazaki dilanda ombak tsunami setinggi 50 sentimeter (cm) selepas gempa itu.

Mengulas lanjut, menurut Kementerian Luar Negeri, rakyat Malaysia perlu mendaftarkan keberadaan mereka di laman sesawang kedutaan Malaysia di Tokyo.

Tambahnya, sebarang bantuan boleh berhubung menerusi nombor 81-3-3476-3840 atau 81-80-4322-3366 (untuk kecemasan).

“Rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan terjejas, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!