Selamatkan orang lain daripada kejahatan diri
SEBAGAI seorang Muslim, kita sepatutnya menyelamatkan orang Islam lain daripada kejahatan diri waima dari segi lisan, tangan mahupun perbuatan.
Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) adalah (apabila) seseorang Muslim (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) ialah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh ALLAH SWT.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, hadis itu menyuruh umat Islam agar tidak menyakiti saudara seagamanya.
“Malangnya apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya apabila ada yang menzahirkan rasa tidak puas hatinya mahupun menghukum seseorang.
“Walaupun seseorang individu melakukan perbuatan yang salah, tetapi usah sesekali kita mengata dia seperti ‘Sudahlah gemuk, hitam pula, kemudian buat salah’, ‘anak khinzir’ dan sebagainya.
“Ketahuilah bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah salah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Meskipun seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan, Imam Muda Hassan mengingatkan agar kita tidak sewenang-wenangnya memukul mereka.
Apalagi bertindak sendiri mengikut hawa nafsu hingga mengancam nyawa seseorang kerana ia merupakan suatu perbuatan zalim.
“Benar, salah tetap salah, tetapi kita tidak boleh pukul atau melakukan tindakan lain mengikut hawa nafsu masing-masing.
“Sepatutnya jika orang itu melakukan kesalahan mencuri misalnya, kita terus bawanya kepada pihak polis, bukan memukulnya sampai mati,” terangnya panjang lebar.
Sayangi orang lain
Bagaimana cara terbaik untuk menghormati dan memuliakan manusia?
Menjawab persoalan itu, Imam Muda Hassan mengajak umat untuk merenung semula hadis Nabi Muhammad SAW.
Baginda bersabda: “Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam riwayat Imam Al-Bukhari, penceramah itu menjelaskan, Nabi Muhammad SAW juga mengingatkan bahawa tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagainya mencintai dirinya sendiri.
Melihat ungkapan hadis itu, jelas beliau, Rasulullah begitu mengajar umatnya supaya menghormati orang lain dan konsep itu merupakan asas supaya berbuat demikian.
Beliau kemudian mengingatkan tentang hak Muslim ke atas Muslim yang lain sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Imam Muslim.
Terdapat enam hak Muslim atas Muslim lain iaitu mengucapkan salam apabila bertemu, memenuhi undangan apabila dijemput, memberi nasihat apabila diminta, mengucapkan ‘Yarhamukallah’ apabila mendengar orang bersin mengucapkan 'Alhamdulillah', ziarah apabila sakit dan iringi jenazah ketika meninggal dunia.
“Penuhilah semua hak itu sebaiknya. Tambahan lagi, jika ada sanak saudara meminta bantuan, hulurkanlah pertolongan. Jika hidup berjiran, bertimbang rasalah.
“Begitu juga dengan orang bukan Islam. Mereka ada hak kejiranan yang mana kita wajib memuliakan mereka. Andai mereka memerlukan pertolongan, kita perlu bantu mereka.
“Jika dijemput kenduri anak mereka kahwin, boleh hadir memenuhi hak kejiranan. Sama juga halnya sekiranya dijemput untuk perayaan untuk memuliakan jiran, tetapi tidak perlulah kita ikut upacara keagamaan mereka,” jelasnya.
Kepada satu soalan, Imam Muda Hassan menjawab, setiap perkara yang berlaku di dunia pasti ada pembalasannya di akhirat termasuklah mereka yang berbuat zalim hingga ‘mangsanya’ menemui ajalnya.
“Pelakunya perlu bertaubat. Dosa dengan manusia, kita kena selesaikan dengan manusia juga. Oleh sebab individu itu telah meninggal dunia, bertaubatlah semampu mungkin dengan meminta maaf daripada waris keluarga.
“Kalau kita berhutang dengan si mati, bayar balik kepadanya. Jika ambil hartanya, pulangkan. Selepas itu, andai kita bersedekah atau lakukan amal kebaikan lain, niatkanlah kepada ALLAH ‘kalaulah ada pahala sedekah ini, aku mohon supaya ia sampai juga kepada arwah si mati yang aku dah buat jahat supaya di akhirat esok ringan beban buat aku’.
“Apabila kita sudah bertaubat dan melakukan semua itu, selebihnya serahkan kepada ALLAH SWT,” titipnya.
ANEKDOT
Jadilah sebaik-baik manusia
- Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
- Terdapat beberapa maksud manfaat yang disebutkan dalam nas itu antaranya dalam bentuk harta iaitu dengan selalu bersedekah.
- Selain harta, boleh juga dalam bentuk tenaga iaitu membantu keluarga, jiran tetangga mahupun orang lain.
- Satu lagi bentuk manfaat adalah dari segi masa. Ada orang mempunyai masa lebih untuk memberi manfaat kepada manusia lain dengan memperuntukkan masa untuk bersama keluarga atau masyarakat. Contohnya, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang menggunakan masanya untuk memperjuangkan pembebasan Palestin.
Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!