UniSZA nafi dakwaan jual sijil akademik

UniSZA menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial. Foto fail Bernama
UniSZA menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Jumaat menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial.

Dalam kenyataanpada Jumaat, UniSZA memaklumkan pihaknya memandang serius akan dakwaan tersebut dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam menjaga mutu program diploma dan ijazah pendidikan tinggi yang dikeluarkan.

"Pihak universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan," menurut kenyataan itu.

UniSZA berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan serta nama baik universiti dan laporan polis juga telah dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah ini.

"UniSZA akan terus komited dalam menjaga nama baik Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Terdahulu tular di media sosial kenyataan seorang individu dipercayai penuntut di UniSZA yang mendakwa dia tidak lagi mahu menyambung pengajiannya kerana beranggapan program ijazah sarjana muda yang diambilnya tiada kaitan dengan matlamat hidupnya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu juga, lelaki tersebut turut mendakwa program ijazah sarjana muda adalah dibeli oleh penuntut apabila perlu membayar yuran pengajian dan UniSZA katanya terhutang budi dengannya atas urusan yang disifatkannya sebagai jual beli itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!