76 warga asing dicekup

Sebahagian daripada warga asing yang ditahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan dan rumah pekerja di sekitar Johor Bahru, Muar dan Mersing. Foto JIM Johor
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan dan rumah pekerja di sekitar Johor Bahru, Muar dan Mersing. Foto JIM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 76 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan melibatkan tiga daerah pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan ke atas 31 premis dan rumah pekerja asing membabitkan daerah Mersing, Muar dan Johor Bahru.

Katanya, dalam OpSapu yang dilakukan di Mersing, lima buah premis termasuk rumah pekerja diperiksa dan lapan lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 54 tahun ditahan.

"Seterusnya hasil pemeriksaan dilakukan di sembilan premis dalam Ops Bersama, Ops Mahir dan Ops Sapu di Muar menahan empat lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar serta tiga wanita Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, sebanyak 17 premis diperiksa dalam serbuan yang dijalankan disekitar di Johor Bahru melibatkan Ops Mahir, Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Selera.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan 17 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, empat lelaki Myanmar, 25 lelaki dan seorang wanita India, seorang lelaki Pakistan serta seorang lelaki Sri Lanka berusia 20 hingga 54 tahun.

Sebahagian daripada warga asing yang ditahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan dan rumah pekerja di sekitar Johor Bahru, Muar dan Mersing. Foto JIM Johor
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan menerusi pemeriksaan di premis perniagaan dan rumah pekerja di sekitar Johor Bahru, Muar dan Mersing. Foto JIM Johor

"Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

"Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.

Mohd Rusdi berkata, operasi yang dijalankan adalah tindakan penguatkuasaan yang diambil susulan aduan dan maklumat awam diterima pihaknya yang menyatakan terdapat warga asing bekerja tanpa pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia.

"Kita akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri ini dan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!