PPZ-MAIWP lancar kempen 1 Bulan 1 Wakaf

Abdul Hakim (kanan) pada Kempen 1 Bulan 1 Wakaf pada Khamis.
Abdul Hakim (kanan) pada Kempen 1 Bulan 1 Wakaf pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan kempen dikenali sebagai 1 Bulan 1 Wakaf bagi menampung kos enam projek terpilih yang memerlukan keseluruhan kutipan sebanyak RM21.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, kos yang diperlukan itu termasuklah dari segi pembangunan, menaik taraf dan pembelian peralatan.

Menurut beliau, pada tahun ini pemilihan projek merangkumi pelbagai sektor wakaf seperti pendidikan, hartanah dan sosial.

"Sebanyak RM5.7 juta diperlukan bagi pembangunan pusat dakwah Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pada Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Hakim memberitahu, sebanyak RM920,000 lagi diperlukan pada September melalui pembelian bas wakaf bagi kegunaan doktor pelatih berulang-alik ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan sebanyak RM1.7 juta lagi bagi pembelian peralatan perubatan kepada pesakit di hospital sama.

Abdul Hakim
Abdul Hakim

Selain itu, katanya, sebanyak RM4.6 juta lagi bagi pembelian 'Smartboard' untuk kegunaan pembelajaran sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan pada Oktober.

Ujar beliau, projek lain pada November pula ialah pembangunan dan pembinaan bangunan tambahan Madrasathul Ghoutiyyah, Brickfields membabitkan kutipan RM6.9 juta pada November.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM2 juta pula bagi pembelian 30,000 naskhah al-Quran untuk kegunaan pelajar di sekolah sekitar Wilayah Persekutuan," tambah Abdul Hakim.

Jelas beliau, kempen itu berlangsung selama lima bulan bermula 1 Ogos lalu hingga 31 Disember depan.

"Ini merupakan kali kedua kempen ini dilaksanakan sejak diberi amanah oleh MAIWP untuk mengutip wakaf di Wilayah Persekutuan.

"Bermula tahun ini, bayaran wakaf tunai di PPZ-MAIWP boleh mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat individu atau syarikat di bawah Sub Seksyen 44(11D), Akta Cukai Pendapatan 1967.

Justeru, katanya, PPZ-MAIWP berharap penganjuran kempen itu dapat membantu meningkatkan dana yang diperlukan bagi setiap projek wakaf di samping pewakaf juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej percutian, smartphone, tablet pintar, jam tangan dan banyak lagi.

“Rebutlah peluang ini untuk menambah saham akhirat kita bersama. Setiap sen sumbangan wakaf yang diberikan akan memberi manfaat kepada setiap penerimanya dan memberi kesan baik berpanjangan kepada ummah” tambahnya.

Sumbangan wakaf boleh dibuat melalui kaunter-kaunter PPZ-MAIWP serta kaunter zakat dan wakaf bergerak bagi bayaran secara tunai, debit atau kredit perbankan Islam.

Selain itu melalui portal wakafppz.com.my, menerusi potongan gaji dan ejen lantikan PPZ-MAIWP.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini sila layari www.zakat.com.my/1b1w2024/ atau hubungi talian 1 300 88 5757.

Dalam majlis yang sama turut diadakan simbolik serahan sumbangan kewangan oleh syarikat pemegang wakalah zakat iaitu Ambank kepada 100 ahli PERTIS bagi membantu meringankan beban.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!