Tesla sedang rugi, Malaysia tidak begitu terjejas - PM

Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada majlis peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada majlis peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Tesla Inc untuk membatalkan pembinaan kilang di Thailand, dan menilai semula rancangan pelebaran perniagaan mereka di Asia Tenggara, bukan kerana tidak percaya terhadap persekitaran perniagaan rantau ini, khususnya di Malaysia.

Sebaliknya, jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu adalah disebabkan syarikat Elon Musk itu sedang mengalami kerugian yang besar, dan tidak mampu bersaing dengan industri kenderaan elektrik (EV) China.

Namun, katanya lagi, Malaysia tidak begitu terjejas dengan keputusan Tesla, kerana berdasarkan laporan sebelum ini, syarikat itu hanya merancang meningkatkan pelaburan di negara ini, berbanding perancangan lebih besar di Thailand iaitu membuka hab kilang pembuatan EV.

“Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.

"Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Jadi itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara pada Jumaat.

Sebelum ini portal The Nation dari Thailand melaporkan pembatalan rancangan untuk membangunkan kilang pembuatan EV di Thailand dan akan memberi tumpuan semata-mata kepada stesen pengecasan pantas.

Memetik sumber di Government House, Thailand, potal itu berkata, keputusan tersebut susulan pemberhentian pasukan eksekutif Tesla yang melawat Thailand pada November-Disember.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Tengku Zafrul menerusi perkongsian di laman media sosial beliau berkata, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.

Jelas beliau lagi, MITI ada mengadakan perbincangan dengan Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

"Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

"Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini," katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!