MMA gesa perketat sistem pengesahan identiti staf hospital

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa memperketatkan sistem keselamatan fasiliti kesihatan terutamanya dalam pengesahan identiti kakitangan.

Ia susulan insiden remaja berusia 14 tahun menyamar menjadi pegawai perubatan dan memasuki dewan bedah.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz menegaskan, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang.

Tegas beliau, pelanggaran keselamatan boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa pesakit.

"Keselamatan dan privasi pesakit mesti kekal sebagai keutamaan tertinggi pada setiap masa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun diberkas kerana dipercayai menyamar sebagai pegawai perubatan dan memasuki bilik bedah hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof berkata, pelajar Tingkatan Dua itu ditahan di lobi hospital itu jam 9 pagi ketika cuba mendaftar di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.

Ujar Dr Azizan, pihak pengurusan hospital terbabit digesa menyiasat dengan teliti perkara ini bagi memastikan sama ada kejadian tersebut telah menjejaskan penjagaan pesakit.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kesihatan mental remaja itu juga perlu dinilai memandangkan adalah luar biasa bagi seorang remaja untuk berkelakuan sedemikian," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!