Dakwaan jual kilang Felcra: Ahmad Jazlan cabar lapor SPRM, sedia disiasat

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

GUA MUSANG - Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub mencabar individu yang mendakwa beliau menjual kilang Felcra supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwa Ahmad Jazlan, individu itu adalah 'askar upahan' parti lawan yang sebenarnya sangat terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Beliau memberitahu telah membuat laporan polis pada 7 Ogos lalu dan telah mengarahkan peguam untuk mengemukakan saman terhadap individu berkenaan.

"Itu semua fitnah terhadap saya, kononnya menjual kilang sedangkan satu skru pun saya tidak pernah jual, kalau saya salah, sila buat laporan SPRM... buka kertas siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Mata Warga Felda Bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Menurut Ahmad Jazlan, melalui satu video, individu berkenaan mendakwa beliau sebagai Pengerusi Felcra menjual kilang milik Felcra kepada pihak lain yang kononnya bukan bumiputera.

"Itu tidak pernah berlaku dan tidak pernah sampai ke meja saya. Saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini tetapi sedia disiasat dan berdepan di mahkamah.

"Bagaimanapun, kalau perkara yang didakwa itu benar, saya sendiri akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felcra atau Perdana Menteri dan Timbalannya boleh memecat saya," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Jazlan turut memaklumkan tidak tahu dalang sebenar di sebalik fitnah berkenaan.

"Rakyat Nenggiri kali ini cukup matang. Ini bukan soal isu Nenggiri cuma mahu mencalarkan imej saya selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya," katanya.

Beliau juga berbangga kerana Felcra menerima keuntungan sebanyak RM80 juta dan kesemua itu dikembalikan kepada rakyat.

Terdahulu, tular satu video Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard memaklumkan akan menghantar satu surat mendesak penjelasan Pengerusi Felcra mengenai penjualan kilang sawit yang merugikan Felcra.

Che'gu Bard mendakwa menjalankan siasatan dan carian menemukan dengan pelbagai perkara yang dikatakan sangat 'tidak kena'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!