Pelaburan tambahan Infineon bukti keyakinan terhadap dasar negara - PM

Anwar hadir pada majlis peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, pada Jumaat.
Anwar hadir pada majlis peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar ekonomi negara yang jelas dan kestabilan politik menjadi antara faktor yang menarik syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) untuk mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM30.1 bilion semalam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keputusan mereka untuk melabur tentunya mengambil kira kedudukan politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas,” kata beliau pada Majlis Peluncuran Garis Panduan mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan pada Jumaat.

Beliau berkata, transisi tenaga, pendigitalan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut mempengaruhi pelaburan terbesar Infineon di Malaysia.

Semalam, penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman itu mengumumkan akan menambah pelaburan lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.

Jumlah itu adalah tambahan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) membabitkan Fasa 1.

Anwar berkata sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan daripada pelaburan Infineon di Malaysia, termasuk dalam bidang kejuruteraan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Oleh itu, beliau mahu universiti menggerakkan usaha untuk memastikan negara mampu menyediakan kemahiran yang diperlukan.

"Universiti perlu dikerahkan dalam perkara itu. Pertama, ini kerana kita kurang jurutera dan kedua, kita kurang kemahiran dalam bidang digital peringkat tinggi dan AI. Perkara itu yang perlu kita teliti," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyarankan Malaysia membuat perbandingan dengan kemajuan negara di peringkat serantau untuk meningkatkan aspek mudah cara perniagaan dan daya saing berikutan prestasi beberapa elemen seperti kelulusan pelaburan yang masih ketinggalan.

"Ada elemen di peringkat kelulusan, kita tercorot. Kalau ikut pengalaman saya pada tahun 1990-an, melainkan Singapura, prestasi kita baik," katanya.

Anwar berkata, aspek kelulusan antara yang sering disentuh pelabur yang membandingkan dengan negara seperti Vietnam apabila berada di kedudukan yang lebih baik berbanding Malaysia.

Merujuk unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, Perdana Menteri menyifatkan angka itu sebagai antara yang tertinggi di Asia.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024, meningkat daripada 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong oleh peningkatan penggunaan isi rumah dan pemulihan eksport berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

Bank Negara Malaysia akan mengumumkan angka ekonomi bagi suku kedua pada Jumaat depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!