Naib Presiden Gerakan didakwa pecah amanah wang KABA
KUANTAN - Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang juga Pengerusi Gerakan Pahang, Datuk Yap Kim Heng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang bayaran sewa gerai Persatuan Bola Keranjang Amator Kuantan (KABA) berjumlah RM15,950.
Tertuduh yang berusia 62 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Maimoonah Aid.
Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan, tertuduh didakwa pecah amanah atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi KABA apabila tidak memasukkan bayaran sewaan gerai oleh penyewa berjumlah RM1,350 hingga RM2,600 ke dalam akaun bank persatuan sebaliknya menyerahkan lima cek diterima kepada isteri dan anak untuk ditunaikan ke akaun bank masing-masing.
Tertuduh juga turut tunaikan satu cek bayaran sewaan gerai persatuan berjumlah RM4,200 ke akaun milik peribadi sedangkan wang dengan jumlah keseluruhan RM15,950 itu perlu dimasukkan ke akaun KABA.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Air Putih di sini antara Mei 2018 hingga Jun 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta denda.
Ekoran pengakuan tidak bersalah itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh.
Pihak pendakwaan juga memohon syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai.
Peguam, Bala Bedha yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar wang jaminan ke atas anak guamnya dikurangkan pada kadar paling minimum.
Menurutnya, anak guamnya itu kini telah bersara dan bergantung kepada komisyen serta elaun daripada pekerjaannya terdahulu untuk menyara keluarga termasuk isteri yang sering sakit dan seorang anak masih belajar.
Selain itu, tertuduh juga mengalami masalah jantung dan perlu menjalani rawatan di hospital.
Justeru dia memohon syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport diketepikan memandangkan tertuduh merancang untuk menjalani rawatan jantung di Singapura.
Mengambil kira hujah pendakwaan dan rayuan tertuduh, Maimoonah membenarkan jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM18,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes tersebut.
Tertuduh difahamkan menjelas wang jaminan yang dikenakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!