IPP Malaysia naik lima peratus pada Jun, kekal momentum positif dalam enam bulan
KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.0 peratus pada Jun 2024, mengekalkan momentum positif selama enam bulan berturut-turut, yang dipacu oleh sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan output dalam sektor pembuatan merupakan penyumbang utama, dengan peningkatan sebanyak 5.2 peratus (Mei 2024: 4.6 peratus) diikuti oleh pemulihan 4.9 peratus dalam pengeluaran sektor perlombongan (Mei 2024: -6.9 peratus) dan peningkatan 3.5 peratus sektor elektrik (Mei 2024: 4.5 peratus).
Berbanding bulan sebelumnya, beliau berkata, IPP meningkat 4.8 peratus berbanding 3.5 peratus yang dicatatkan pada Mei 2024, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Pertumbuhan keluaran yang stabil dalam sektor pembuatan didorong oleh pengembangan dalam industri berorientasikan eksport pada 5.4 peratus (Mei 2024: 3.7 peratus), menandakan peningkatan tertinggi sejak September 2022.
"Pengembangan pengeluaran yang kukuh dilihat dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang memulih kepada 12.5 peratus (Mei 2024: -5.5 peratus); dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang meningkat pada kadar lebih laju sebanyak 11.0 peratus (Mei 2024: 4.8 peratus)," katanya.
Mohd Uzir berkata, pembuatan komputer, elektronik dan produk optik juga menyokong pertumbuhan pada 4.9 peratus pada Jun 2024 (Mei 2024: 8.4 peratus).
Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport melonjak 11.8 peratus (Mei 2024: 9.0 peratus), manakala industri berorientasikan domestik bertumbuh sederhana 4.6 peratus berbanding 6.4 peratus yang direkodkan pada Mei 2024.
Sementara itu, pada Jun 2024, industri berorientasikan domestik merosot 5.4 peratus berbanding pertumbuhan positif 2.3 peratus pada bulan lepas.
"Melihat kepada prestasi beberapa negara, IPP bertumbuh positif di China, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, dan Amerika Syarikat. Sebaliknya, Singapura, Thailand dan Jepun mengalami penurunan dalam IPP pada Jun 2024," kata Mohd Uzir.
Beliau berkata, bagi suku kedua 2024, IPP meningkat lagi sebanyak 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2024, dipacu oleh pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 4.9 peratus (suku pertama 2024: 2.1 peratus).
"Sementara itu, IPP bagi sektor perlombongan dan elektrik masing-masing berkembang sederhana sebanyak 2.4 peratus (suku pertama 2024: 5.9 peratus) dan 5.3 peratus (suku pertama 2024: 9.1 peratus).
"IPP turun 1.2 peratus pada suku kedua 2024 berbanding suku pertama 2024, dipengaruhi oleh penurunan dalam sektor perlombongan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!