Bank lancar 'malware shielding' elak pelanggan jadi mangsa penipuan
KESEMUA institusi perbankan di negara ini melancarkan perisai perisian hasad atau ‘malware shielding’ yang berupaya mengesan ciri berisiko tinggi dan akses jarak jauh yang mencurigakan dalam peranti pelanggan.
Menerusi satu kenyataan bersama dikeluarkan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), ia bertujuan menghadkan akses kepada aplikasi bank mudah alih buat sementara waktu apabila terdapat ancaman yang dikenal pasti.
Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya bersama AIBIM terlibat secara aktif dalam proses peluncuran secara berperingkat untuk mengintegrasikan langkah keselamatan penting itu.
Menurutnya, difahamkan ia juga membantu menyekat sebarang transaksi yang diragui, melindungi data pelanggan dan mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
"Berdasarkan lima langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan, pelaksanaan teknologi perisai perisian hasad adalah langkah penting selaras dengan nasihat Bank Negara Malaysia (BNM).
"Semua bank anggota ABM dan AIBIM terlibat secara aktif dalam proses pelancaran berperingkat untuk mengintegrasikan langkah keselamatan penting ini.
"Dengan menekankan privasi pelanggan, perisai perisian hasad hanya aktif apabila aplikasi perbankan mudah alih dibuka, bagaimanapun tak berfungsi jika tidak digunakan. Kami jamin maklumat dan data peribadi kekal sulit serta dilindungi," katanya pada Jumaat.
Antara institusi yang menggunakan perisai perisian hasad dalam aplikasi perbankan mudah alih adalah Alliance Bank, AmBank, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank, HSBC Bank, Maybank, MBSB Bank, OCBC Bank, RHB Bank, Standard Chartered dan UOB Bank.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan, usaha memerangi penipuan perbankan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama.
Justeru, menurut beliau, pihaknya mengalu-alukan usaha semua pihak untuk meningkatkan keselamatan perbankan dan membendung penipuan berkaitan perisian hasad.
"Ini membantu mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat untuk semua rakyat di negara ini.
"Kami juga menggesa orang ramai untuk kekal berwaspada terhadap apa-apa permintaan untuk memuat turun aplikasi daripada sumber tidak sahih," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!