Amaran ribut petir, hujan lebat sehingga 5 petang ini
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di 10 negeri sehingga jam 5 petang ini.
Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan, amaran tersebut melibatkan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia termasuk Kedah (Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
Ribut petir dan hujan lebat turut dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin), Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu dan Jempol), Johor (Segamat, Pontian dan Johor Bahru) serta Sarawak (Pakan dan Julau).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mili meter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Orang ramai boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!