Olimpik Paris 2024: Keluarga bangga pencapaian Zii Jia, Pearly Tan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu (tengah) bergambar dengan Seng Hoe (kiri) dan Siet Peng (kanan) selepas Majlis Perasmian Dewan dan Bilik Serbaguna Taman Bahagia, Taman Setar dan Taman Desa pada Jumaat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu (tengah) bergambar dengan Seng Hoe (kiri) dan Siet Peng (kanan) selepas Majlis Perasmian Dewan dan Bilik Serbaguna Taman Bahagia, Taman Setar dan Taman Desa pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Ibu kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berbangga dengan pencapaian anak lelakinya meraih pingat gangsa dalam Olimpik Paris 2024.

Ibunya, Leow Siet Peng berkata, berbangga dengan semangat juang anaknya apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.

Siet Peng
Siet Peng

"Bagi pihak keluarga, saya memang banggalah terhadap pencapaian yang ditunjukkan oleh Zii Jia.

"Saya harap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi buat anak- anak muda," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Dewan dan Bilik Serbaguna Taman Bahagia, Taman Setar dan Taman Desa pada Jumaat.

Beliau berkata, sebagai ahli sukan, Zii Jia yang merupakan anak jati Kedah berusaha bersungguh-sungguh dan sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara.

Kata Siet Peng, dia juga berbangga kerana anak lelakinya menjadi salah satu simbol keharmonian dan juga perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kerajaan Kedah bakal menyediakan insentif kepada Zii Jia atas kejayaan dalam sukan badminton itu, beliau memaklumkan belum dihubungi untuk makluman mengenai ganjaran terbabit

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Siet Peng berkata, dia amat menghargai perhargaan dan sokongan padu yang ditunjukkan atas kejayaan dirangkul anak lelakinya itu.

Menurutnya, beliau berterima kasih atas sokongan padu diberikan pelbagai pihak termasuklah kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.

Siet Peng berkata, dia mengalu-alukan insentif dan penajaan untuk Zii Jia sebagai tanda sokongan padu terhadap atlet negara itu.

Sementara itu,Tan Seng Hoe yang merupakan bapa kepada pemain badminton beregu utama wanita negara, Pearly Tan, berkata, dia juga berbangga dengan pencapaian anak perempuannya di Olimpik Paris 2024.

Seng Hoe
Seng Hoe

Beliau berkata, anak perempuannya bersama rakan regunya, M Thinaah berjaya mencipta sejarah apabila muncul sebagai beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkau ke separuh akhir Sukan Olimpik itu.

Menurut Seng Hoe, selepas Olimpik Paris 2024, Pearly akan menghadapi saingan pada terbuka Daihatsu Jepun 2024 nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!