Empat lagi ditahan sebar berita palsu koronavirus

Gambar hiasan. Foto: 123rf
Gambar hiasan. Foto: 123rf
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, keempat-empat serbuan itu telah dijalankan secara berasingan oleh PDRM dan SKMM iaitu dua di Melaka, satu di Kedah dan Pahang.

"Dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11 pagi hingga 5 petang hari ini, PDRM dan MCMC telah menahan suspek-suspek

terlibat untuk merakam keterangan mereka.

"Di Alor Setar, seorang tutor sambilan berumur 49 tahun telah ditahan pada jam 12 tengah hari kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu di Facebook pada 25 Januari," katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka sekitar jam 4 petang bagi membantu siasatan berhubung kandungan palsu yang dimuat naik di Facebook pada 26 Januari.

"Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berumur 24 tahun pula ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang kerana disyaki telah berkongsi kandungan palsu di laman Twitter pada 27 Januari," ujarnya.

Sehubungan itu, sebanyak empat unit telefon pintar, lima kad sim dan dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan wabak tersebut di media sosial turut dirampas daripada keempat-empat suspek dalam serbuan itu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

SKMM bersama-sama PDRM akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dalam mengawal penyebaran berita palsu demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!