Curi duit tabung kes jenayah tertinggi di masjid

Sebahagian pegawai dan anggota polis yang menyantuni jemaah di Masjid Al-Huda, Kampung Sri Ampang di Ipoh sempena program HPP pada Jumaat.
Sebahagian pegawai dan anggota polis yang menyantuni jemaah di Masjid Al-Huda, Kampung Sri Ampang di Ipoh sempena program HPP pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 70 kes jenayah dilaporkan melibatkan masjid dan surau di Perak dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, daripada jumlah itu, kecurian duit tabung masjid menjadi kesalahan tertinggi dengan 49 kes.

Menurutnya, statistik jenayah itu turut merekodkan curi motosikal sebanyak 10 kes diikuti pergaduhan (4), curi peralatan surau (3), pecah masuk (2) dan masing-masing satu kes bagi merusuh dan pecah cermin kereta.

"Kadar jenayah yang berlaku di masjid dan surau ini masih dianggap rendah, cuma ada kekerapan kes melibatkan jenayah harta benda seperti curi motosikal dan curi tabung.

"Polis terus komited melaksanakan tugas memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, namun dalam masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu polis bagi mengekang kejadian jenayah ini," katanya sempena program High Profile Policing (HPP) di Masjid India Muslim di sini pada Jumaat.

Azizi bersama jemaah Masjid India Muslim di Ipoh sempena program HPP pada Jumaat.
Azizi bersama jemaah Masjid India Muslim di Ipoh sempena program HPP pada Jumaat.

Program berkenaan diadakan serentak di 181 masjid seluruh negeri menerusi sesi tazkirah ringkas yang disampaikan pegawai kanan polis sebelum khutbah Jumaat.

Azizi berkata, bagi mengelak kes kecurian tabung terus meningkat, pengurusan masjid disaran menyimpan duit kutipan setiap hari dan mengelak tabung yang masih berisi wang dibiarkan tanpa kawalan terutama waktu malam.

Artikel Berkaitan:

"Saya memuji tindakan pengurusan masjid yang mengambil kesempatan dengan perkembangan teknologi yang ada, dapat dilihat sebahagian besar masjid sekarang dilengkapi dengan CCTV yang sangat membantu dalam mengukuhkan sesuatu pendakwaan kes," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan HPP bersama komuniti masjid diharap dapat memperkukuh kerjasama dengan pengurusan masjid di negeri ini dalam usaha membendung kegiatan jenayah di masjid dan surau.

"Antara inisiatif telah digerakkan polis adalah dengan pelantikan Pegawai Perhubungan Masjid dalam kalangan pegawai dan anggota polis serta mewujudkan Program 1 Masjid 1 Polis (1M1P)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!