Dua wanita cedera ditikam di kawasan sekolah di Kelana Jaya

Lokasi dipercayai berlakunya kejadian wanita ditikam di Kelana Jaya.
Lokasi dipercayai berlakunya kejadian wanita ditikam di Kelana Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga tempatan bertindak ganas menyerang dua wanita menggunakan pisau di Kelana Jaya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, serangan dilakukan pada tengah hari itu mengakibatkan kedua-dua mangsa warga tempatan mengalami kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita warga tempatan pada jam 1.48 tengah hari menyatakan dua wanita mengalami kecederaan akibat ditikam dengan senjata tajam dipercayai pisau.

Kata beliau, kejadian berlaku berhampiran surau yang turut menempatkan sebuah sekolah rendah agama.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan pihak polis sedang menyiasat motif serangan dilakukan.

"Seorang mangsa cedera dilibas di perut dan kepala, manakala seorang lagi mangsa yang merupakan guru luka besar di lengan tangan kiri.

"Mangsa yang telah dibawa ke Hospital Shah Alam berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada Pasukan Perubatan Bulan Sabit Merah yang hadir di lokasi kejadian, sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tegas beliau, pihak polis kini giat memburu suspek yang dipercayai warga tempatan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!