PLKN 3.0 lahirkan belia kental, kukuh jati diri

Peserta PLKN menjalani aktiviti di lapangan - Gambar fail (Gambar kecil: Muhammad Izuan Faiz).
Peserta PLKN menjalani aktiviti di lapangan - Gambar fail (Gambar kecil: Muhammad Izuan Faiz).
A
A
A

ALOR SETAR - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 diyakini akan memanfaatkan masyarakat khususnya golongan belia kerana menawarkan latihan kemahiran selain menyuntik semangat patriotisme.

Ketua Penerangan Pertubuhan Perdana Nasional, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, dengan menghidupkan semula PLKN, kerajaan dapat memberikan peluang lebih inklusif dan positif kepada generasi muda untuk berkembang dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, pada masa sama ia dapat memastikan penerapan nilai-nilai patriotisme terhadap pembangunan negara secara progresif.

“Sebagai sebuah NGO belia, kami berasakan ia suatu keperluan agar belia negara ini lebih kental dan memiliki jati diri yang kukuh berdepan apa jua cabaran,” katanya di sini pada Jumaat.

Pada 22 Julai, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, Fasa Latihan Lanjutan PLKN 3.0 terbuka kepada mereka berumur 17 hingga 35 tahun meliputi latihan berbentuk intensif, lapangan dan praktikal.

Pelatih akan menggunakan modul latihan dibangunkan khas untuk anggota angkatan simpanan dan badan sukarelawan. Ia terbuka kepada badan sukarela dan anggota simpanan daripada polis bantuan, bomba bantuan, Anggota Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rukun Tetangga dan sebagainya.

Sebelum itu, Mohamed Khaled mengumumkan PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berfasa bermula Jun/Julai 2025 dengan konsep dan format baharu, melibatkan tiga fasa.

Fasa pertama, Fasa Pra-PLKN diperkenalkan pada peringkat sekolah sebagai persiapan menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun, melibatkan pelajar Tingkatan 4 dan dilaksanakan semasa kegiatan kokurikulum.

Artikel Berkaitan:

Fasa kedua, Fasa Asas melibatkan remaja berusia 17 tahun dan ke atas dan menjalani latihan asas di kem Askar Wataniah, universiti awam dan beberapa politeknik menggunakan Modul Asas Kenegaraan sebanyak 30 peratus dan 70 peratus Modul Asas Ketenteraan.

Selanjutnya, pelatih PLKN diberi peluang menjalani latihan lanjutan pada Fasa Lanjutan sekiranya berminat.

Muhammad Izuan Faiz percaya modul baharu yang akan digunakan pastinya memenuhi tuntutan semasa untuk membolehkan generasi muda lebih matang menghadapi cabaran mendatang.

“Penglibatan inklusif tanpa mengira kaum, agama dan bangsa juga perlu dititikberatkan bagi mencapai agenda perpaduan seperti dirancangkan.

“Pengenalan modul baharu PLKN 3.0 oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat bertepatan untuk mencapai matlamat pembangunan belia lebih menyeluruh,” jelasnya.

Menurutnya lagi, biarpun sebelum ini ada pihak mempertikaikan perbelanjaan kerajaan yang disalurkan untuk program berkenaan termasuk keberkesanan ia dilaksanakan, sehingga mengakibatkan pemansuhan program tersebut, ia bukan halangan untuk dilakukan penambahbaikan.

“Kali ini kerajaan harus pastikan peruntukan yang digunakan benar-benar bermanfaat dan dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun, purata perbelanjaan RM600 juta setahun.

Ia kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya 20,000 setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!