Jepun keluar amaran gempa bumi mega
TOKYO - Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan amaran gempa bumi mega terhadap 707 daerah di 29 wilayah dari Okinawa hingga Ibraki selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Mizayaki pada Khamis.
Menurut JMA, penduduk di sepanjang pantai Pasifik diminta untuk bersedia dengan senario gempa bumi mega pada minggu hadapan.
Gempa bumi berlaku pada jam 4.42 petang Khamis (waktu tempatan) di wilayah Miyazaki pada kedalaman 30 kilometer dan berpusat 30 kilometer dari pesisir pantai Laut Hyuga.
Susulan gempa bumi itu, JMA mengadakan satu mesyuarat khas pakar yang kemudian mengeluarkan amaran gempa bumi besar peringkat kedua.
Ini adalah amaran pertama yang dikeluarkan sejak sistem amaran itu diperkenalkan pada November 2017.
Amaran peringkat tertinggi menetapkan prosedur pemindahan sebelum kejadian.
"Kemungkinan gempa bumi (Nankai Trough) yang berlaku ini adalah lebih tinggi daripada biasa.
"Walau bagaimanapun, kami tidak dapat memberikan jangkaan tepat bila atau di mana gempa mega akan berlaku, tetapi kami menasihatkan orang ramai sentiasa bersedia," kata Profesor Emeritus di Universiti Tokyo dan ketua panel JMA, Naoshi Hirata.
Penyelidik sebelum ini meramalkan kemungkinan gempa bumi dengan magnitud antara lapan hingga sembilan di kawasan sama dalam masa 30 tahun akan datang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!