Lelaki warga China dituduh buang bahan kimia dalam sungai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang lelaki warganegara China mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melepaskan buangan bahan kimia ke dalam perairan daratan berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, Selangor.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, lelaki berusia 42 tahun itu dituduh kerana terbabit dalam insiden pencemaran bau dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor SSP 1, 2 dan 3 pada 23 Julai yang lalu.

Menurutnya, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 25(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) dibaca bersama Seksyen 25(1), akta yang sama.

“Suspek berhadapan dengan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda minimum RM50,000 dan maksimum sehingga RM10 juta jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar, Nurliyana R Azmi.

Tertuduh diwakili oleh peguam dari Tetuan Karpal Singh & Co.

Bagaimanapun Hakim, Nor Rajiah Mat Zin tidak membenarkan permohonan jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 September ini sebagai tarikh serahan dokumen.

“Semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah Akta Alam Sekitar 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Abdul Latiff berkata, Akta Alam Sekitar 1974 yang telah dipinda dan mula berkuat kuasa pada 7 Julai 2024 telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti di mana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

“Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan,” ujarnya

Beliau berkata, JAS komited dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!