JKM pantau perkembangan adik Zayn Rayyan

Mahkamah Majistret Shah Alam memberikan perintah hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan kepada nenek saudaranya bermula Jumaat.
Mahkamah Majistret Shah Alam memberikan perintah hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan kepada nenek saudaranya bermula Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan akan terus memantau perkembangan dan keadaan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, yang kini diletakkan di bawah orang yang layak dan sesuai (OYLS).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, tindakan dilaksanakan JKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.

"Semua prosedur yang dijalankan adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut semata-mata," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kementerian sentiasa komited agar kebajikan dan hak kanak-kanak dilindungi.

"Saya juga menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019 2615999 serta menghubungi pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Bagi Kanak-kanak (MBKK) Shah Alam, Selangor pada Jumaat mengeluarkan perintah jagaan sementara ke atas adik Allahyarham Zayn Rayyan, kepada OYLS yang juga merupakan waris keluarga untuk tempoh interim dua bulan.

Keputusan tersebut selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan isteri, Ismanira yang kedua-duanya berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Artikel Berkaitan:

Kejadian membabitkan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu didakwa berlaku di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 5 Disember tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!